Monday, August 30, 2010

Di Balik Gobok

Sofea mencepak-cepak setelah merasa sedikit habuk batang buruk daripada sebuah balang terbuka. Kerja budak-budak dia lah ni. Dia merasa lagi. Sedap pulak katanya dalam hati. Sambil mencepak dia memandang ke atas dan cuba untuk mengenali rasa habuk batang buruk itu. Macam rasa apa ye. Kemudian di menggigit secebis daripada batang buruk tadi. Lembut dan rapuh. Sedap. Tanpa disedari habis sebatang ditelannya.

Sambil menjilat-jilat habuk batang buruk di sekeliling mulutnya, Sofea menggelengkan kepala. Aish, sedap betul katanya. Ada rasa manis, rasa lemak, masin-masin sikit pun ada. Just nice. Jauh lebih sedap dari kayu-kayu almari yang menjadi santapannya selama 8 tahun, tegas Permaisuri Anai-anai itu lagi sambil memeluk batang buruk kedua.

Saturday, August 21, 2010

Drama Melayu Lagi

Dalam situasi ini, ada tiga orang sedang menunggu di ruangan menunggu hospital. Tiada orang lain, hanya mereka bertiga. Dua lelaki satu perempuan.
Kemudian seorang doktor perempuan masuk ke dalam ruangan menunggu. Doktor Ayu nama dia rasanya. Dan seperti biasa, dengan tipikalnya, ketiga-tiga manusia yang menunggu tadi bangun dan menumpukan perhatian kepada Doktor Ayu. Jarak antara mereka boleh dikatakan satu kaki setengah, maksimum.
"Macam mana doktor?", adalah soalan wajib dalam situasi ini. Barangkali, perkara ini sudah tertulis dalam buku teks penulisan skrip drama. Boleh jadi. Okay, tak mengapalah.

Doktor Ayu menyatakan keadaan terkawal tetapi, "Ada sesuatu yang saya perlu bincangkan dengan encik Rizman", tambahnya. "Mari ikut saya".
Jadi salah seorang daripada mereka bertiga yang bernama Rizman ini meninggalkan ruang menunggu mengikut Doktor Ayu ke pejabatnya.

Dan sejurus Rizman dan Doktor Ayu hilang dari pandangan, wanita yang menunggu bersama-sama tadi, Suraya mungkin namanya, aku tak ingat bertanya kepada lelaki yang seorang lagi: "Rizman pergi ke mana tu?", dengan muka sehabis panik.

Ini menarik. Kita sebagai penonton pun tidak tahu apa yang mahu dibincangkan Doktor Ayu dengan Rizman. Dan soalan Suraya itu walaupun agak menghairankan, mungkin memaksudkan dia mahu tahu apakah perkara yang mereka mahu bincangkan. Lelaki yang diajukan soalan ini (aku namakan dia sebagai Din), berpeluk tubuh, mengecilkan mata, dan menarik nafas sedikit sebelum memberi jawapan. Boleh nampak Din berfikir sedikit sebelum menjawab. Pasti Din tahu sesuatu yang kita, penonton, dan Suraya tidak tahu.

"Ermm.. Doktor Ayu ada sesuatu nak bincang dengan Rizman". Full stop. Momen yang memang membunuh mood.

Perlukah intelektualiti penonton dihina sebegitu? Soalan retorik. Jangan bagi jawapan seperti Din.

Baru ingat nak bagi peluang kedua kepada drama-drama melayu bersiri macam ni. Terpaksa aku sahur ekstra sekeping roti sebagai pampasan penghinaan ini.

Wednesday, August 18, 2010

Apabila Sesat Dalam Hutan

Gunakan iPhone kamu dan keliling seorang kawan yang memegang botol air secara menegak. Ini dinamakan kompas manusia.

Ataupun kamu boleh bertanyakan arah jalan pada penghuni rumah di belakang sana

Monday, August 9, 2010

Pangkat Dua Bahagian Dua

Masuk ke dalam kedai sukan berjenama dengan berbaju melayu, seluar berlubang dan selipar jenama Asadi, tiada siapa pedulikan kehadiran walaupun tiada pelanggan lain. Double standard di negara ini masih kuat rupanya.

Tambah menyakitkan hati ialah belum habis bertanyakan soalan-soalan berkenaan sebelah kasut yang menarik minat, promoter berwajah pan-asian yang tergagap-gagap berbahasa melayu, beriya-iya menuding ke arah kaki dan berkata: "Takde saiz".

Tuesday, August 3, 2010

Melukis-lukis

Aku sedang melihat video orang melukis potret di komputer apabila Syahir yang mencuri-curi tonton di belakang memberi komen: "Susah sial nak lukis potret"

"Demmit!" aku kata dalam hati. Aku tak kenal rupanya si Syahir ni. Melukis potret memang susah, dan kenyataan Syahir secara spesifik itu agak mengelirukan aku. Bukan calang-calang orang boleh mengeluarkan kenyataan begini.

Jadi bagi meleraikan kekeliruan aku bertanya soalan basic kepada Syahir. Habis basic:
"Kau reti lukis Arnab?"

Syahir terdiam dan menggelengkan kepala.
"Bagi la aku can!!!", jeritnya.

Kami ketawa. Aku ketawa dengan gaya Mumbra, mata terpejam. Sambil menarik balik tanggapan-tanggapan dalam hatiku tadi.

Monday, July 26, 2010

Google Semangat

Satu hari aku google: Fat Free-diver Youtube. Mahu lihat bukti dalam bentuk video.

Hasil carian: Fat guy jumping off Diving board at Heath Beach.
Apa tu?: Orang gemuk melompat dari papan anjal sambil disorak orang ramai.

Demmit. Patah semangat aku ni.

Friday, July 9, 2010

Manusia Bangsa Kompleks

Manusia merupakan sebuah bangsa yang hebat. Antara binatang-binatang yand ada di muka bumi ini, manusia merupakan binatang yang paling maju.
Jika dilihat evolusi dan perkembangan otak manusia, begitu besar julatnya diantara dua hujung. Bermula dengan membuat peralatan dari batu seperti kapak untuk mengetuk benda lembut yang lain dan untuk membunuh kerbau. Kemudian satu kutu ni terjumpa api dan dari situ manusia mula memasak binatang lain kerana aromanya lebih enak dan supaya tidak sakit perut selepas makan. Legendary.

Selepas itu ada yang mula munjumpai logam. Besi diasingkan dari bijih dan kemudian kapak yang tadinya dari batu kini dalam bentuk besi. Tak lama, ada pula yang mula mengira-ngira, mencipta sistem nombor lalu terhasil-lah istilah matematik. Matematik membantu manusia untuk membuat keputusan dengan lebih jitu, membuat bulatan tepat dan membina bangunan-bangunan untuk didiami. Doktrin-doktrin seperti statistik dan kebarangkalian dicipta oleh manusia supaya tidak meneka-neka bodoh apabila perlu untuk meneka-neka. Dahsyat bangsa manusia ini.

Maju lagi ke hadapan, manusia mula menggunakan elektrik. Elektrik, iaitu cas-cas bergerak yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini pernah dianggap luar dari kemampuan pemikiran manusia. Dengan matematik, manusia dapat mengawal dan menggunapakai cas-cas halimunan ini bagi pelbagai kehgunaan. Dan dari besi pula manusia telah mencipta kenderaan, baik darat, air atau udara. Orang-orang di zaman Rome dulu tidak pernah terfikir untuk travel ke tanah Bavaria dalam masa dua jam sahaja. Kini boleh.

Pap! Tahun 1957, orang Russia dengan kemajuan pesat pelbagai teknologi, telah membuat roket dan kemudian dihantar ke luar dari bumi. Bumi yang orang dulu ingat adalah dunia, rupa-rupanya ada bahagian luar. Ditambah dengan perang dingin dengan Amerika Bersatu, manusia sudah menjejak bulan. Sains roket, iaitu yang dikatakan orang sebagai bidang paling kompleks dalam sains, sudah dikuasai manusia. Kemudian perlahan-perlahan manusia mula membangunkan teknologi komputer.

Dan bermula dari penghujung 90an, teknologi komputer tampak menjalani pembangunan yang drastik, baik dari segi hardware ataupun software. Komputer bolehlah dikatakan sebagai gabungan kesemua teknologi yang dibangunkan sebelum ini dan ditaruh ke dalam satu kotak. Walaupun komputer tidak boleh terbang sendiri ke angkasa lepas atau menembak jeep musuh, tetapi manusia secara keseluruhannya menggunakan komputer untuk merekabentuk dan membuat analisis bagi melaksanakan perkara-perkara yang dikatakan. Dulu kita tak pernah pun terfikir kemapuan untuk berkongsi resepi puding dengan seorang kawan yang berada di Siberia. Sekarang boleh kongsi resepi puding.

Begitu hebat evolusi manusia ini. Kucing, kalau boleh berkata dalam Bahasa Melayu dan kalau ditanya adakah bangsa manusia ini hebat, kucing akan menjawab "Hebat".

Tetapi disebalik kehebatan dan segala teknologi yang sofistikated ini, bangsa manusia ini boleh pula emosi dan mengamuk-ngamuk pada tahun 2010 apabila seekor sotong dikatakan membuat ramalan keputusan perlawanan bolasepak, dan ramalannya kena. Walhal sotong itu lapar dan memilih makanan yang padanya lebih menyelerakan. Aneh bukan?

Dan kucing, kalau boleh berkata dalam Bahasa Melayu dan kalau ditanya adakah bangsa manusia ini bodoh, kucing akan menjawab, "Bodoh".