Wednesday, August 24, 2011

Templat Sinetron

Di Indonesia, dikatakan siaran televisyen mereka kini dibanjiri sinetron-sinetron atau sinematik elektronik. Sinetron ini dalam erti kata lain adalah drama siri TV tetapi kerana beberapa sifatnya yang unik (atau tidak), ia harus diberi nama sinetron. Hanya Indonesia menghasilkan sinetron sepertimana hanya negeri Champagne menghasilkan, well, champagne.

Apapun lambakan sinetron ini kadang-kadang membuatkan kita terfikir apakah mereka ini tidak kering idea? Sekali jalan barangkali ada lebih 8 buah sinetron ditayang secara serentak. Samada ya, atau mungkin sudah ada templat untuk menghasilkan satu sinetron. Dan tajuk rencana ini mungkin sudah memberi jawapan.
Berikut merupakan rangka yang membina templat sinetron:

1) Tajuk
Untuk memberi tajuk kepada satu satu sinetron amat mudah. Hanya gunakan dua kata nama seperti Bawang Putih Bawang Merah, Nona Dewa, Konda Kondi dan sebagainya. Dan kedua-dua kata nama ini boleh menampakkan seperti ada maksud seperti Bintang dan Kejora walhal hanyalah nama watak utama sinetron itu. Jadi jangan terkejut jikalau sinetron bertajuk Lesung Batu adalah kisah adik beradik bernama Lesung dan erm, Batu.

2) Plot
Plot cerita untuk sinetron biasanya mesti melibatkan keluarga, harta, cinta dan pembelotan. Ini perkara standard. Watak protagonis mesti akan tertindas dengan teruk sekali. Penindas biasanya keluarga sendiri, dan semestinya keluarga tiri. Watak utama biasanya akan ada penyelamatnya, atau Prince Charming-nya, yang secara tipikalnya, bodoh. Pada akhir cerita sudah tentu protagonis akan menang dan antagonis akan kalah teruk.

3) Terjemahan Fizikal Absurd
Dalam sinetron, segala macam absurditi adalah dibenarkan. Watak-watak mampu berselisih dengan jarak 2 kaki dan tidak perasan antara satu sama lain. Menyorok daripada seseorang dengan berselindung di sebalik pasu bunga sudah mencukupi. Satu-satu watak itu, boleh dibuat terpijak cendol, terjatuh dan koma. Apapun boleh.

4) Mainan Kamera
Kamera memainkan peranan penting dalam menambahkan intensiti satu-satu scene itu. Paling berkesan ialah penggunaan slow-motion yang diulang-ulang sekurang-kurangnya 4 kali. Teknik ini boleh membuatkan apa-apa situasi menjadi cemas. Scene terpetik kacang masuk dalam air pun boleh jadi mencemaskan.

5) Deus Ex Machina
Sinetron tidak akan lengkap tanpa penulisan secara deus ex machina, atau penyelesaian dari langit. Penulisan begini meletakkan satu-satu watak itu dia dalam situasi yang memang tidak dapat diselamatkan tetapi dapat keluar dengan 'pertolongan dari langit' yang tak masuk akal. Contoh, katakan antagonis berada dalam situasi 'no escape', tiada jalan keluar dan sudah pasti ditangkap polis. Tetapi, dia berjaya melepaskan diri dengan menyorok di belakang pasu bunga. Ataupun watak protagonis kita terperangkap, di ambang untuk ditikam oleh antagonis, tiada apa boleh menyelamatkannya. Tiba-tiba, antagonis tadi terpijak cendol, terjatuh dan koma.

6) Scene Menangis
Sebagai extra atau rempah kepada sinetron tadi, jangan lupa masukkan scene menangis. Menangis bukan yang biasa-biasa, menangis mestilah melampau-lampau sampai melutut cium lantai dan kalau boleh selama 7 minit. Dalam satu season, sekurang-kurangnya harus ada 15 scene menangis.

Monday, August 15, 2011

Buffet dan Moraliti

Sekarang ini di radio ada satu iklan. Iklan buffet di Uniten Bangi. Dalam iklan ini seorang ibu dan anak kecilnya bersembang hal buffet yang disebut tadi.

Pada akhir iklan ini ibu tadi berkata, "Ada diskaun untuk warga emas tau, jadi semua boleh ikut!".

Apakah yang cuba disampaikan daripada ayat itu? Kalau tiada diskaun untuk warga emas dia tak akan bawa mak bapaknya? Celaka!