Monday, December 31, 2012

Mencari Komidi

Masa Angah Rajalawak tengah naik, aku tak kenal siapa dia ni sebenarnya. Daripada namanya, aku boleh teka dia adalah salah seorang peserta rajalawak, musim berapa tak tahu lah.

Jadi aku rasa kekurangan. Di kala rakyat Malaysia mengangkat beliau sebagai ikon komidi agung, dengan sejumlah filem dibintanginya, dengan berita dan buah mulut betapa kelakarnya Angah rajalawak ini, aku pula tak kenal langsung. Celaka perasaannya bila ketinggalan begini.

Jadi pada satu pagi Ahad pada awal tahun 2012, aku telah mendedikasikan waktu untuk melihat video-video Angah rajalawak di Youtube, supaya aku juga dapat menikmati anugerah yang satu ini. Melihat dari rupa sahaja, Angah ini tampak seperti definisi kelakar. Aku boleh bayangkan kalau dia berjenaka mesti aku berguling di lantai bilik aku ini bersama duit syiling yang sedia bertaburan ini.

Dalam masa sejam, entah berapa banyak video Angah ini sudah aku tonton, dengan pencarian yang bervariasi, menyiasat dengan penuh fokus video-video yang banyak likes dan views, yang komen-komen nya menggambarkan kepuasan komidi.

Dihadapan monitor aku hanya mampu menongkat dagu, menekan butang tetikus dengan lemah kerana maaf cakap, aku tak jumpa langsung apa yang kelakarnya Angah Rajalawak ini.

Wednesday, December 12, 2012

Kisah Seram di Ipoh

Tempohari aku balik Ipoh dengan famili, kesemua kami tiga orang. Ada sepupu kawin di Bidor, jadi terus ke Ipoh peragih durian. Jadi masa lepak-lepak waktu malam di Ipoh, hujan turun dengan lebat. Ipoh jarang hujan, tapi bila hujan begini, mengingatkan aku kepada sebuah kisah seram yang berlaku di Ipoh lebih kurang 24 tahun dulu.

***

Waktu itu hujan lebat. Antara yang paling lebat tahun itu di Rapat Setia. Lebih kurang pukul 9.30 malam seorang pemuda yang barangkali sedang menonton TV dikejutkan dengan jeritan lebih dari seorang budak kecil (kemudian pemuda ini akan tahu ada 2 orang budak kecil yang menjerit). Jeritan ini datangnya dari rumah sebelah dan kedengarannya sangat 'intense'. Bagai didera pun ada juga.

Dalam keadaan hujan yang amat lebat dan tiada tanda-tanda untuk reda, pemuda ini menggagahkan diri meredah kebasahan untuk ke rumah sebelah. Pintu pagar berkunci. Tetapi daripada luar pintu pagar dia sudah dapat melihat dua orang budak memanjat grille pintu hadapan rumah sambil menjerit. Adakalanya berhenti untuk mengambil nafas dan sambung menjerit panjang. Mahu atau tidak terpaksa juga dia panjat pagar untuk ke kompaun rumah lalu menenangkan budak berdua ni tadi.

Sampai di hadapan grille, pemuda ini bertanya kepada dua orang budak ini tadi perihal mereka menjerit macam tak ingat dunia. Dia kenal budak berdua ni, dan budak berdua ini kenal pemuda tadi. Yelah hidup berjiran stail 24 tahun dulu.

"Tadi ni ha tengah tengok TV keluar cerita hantu", jawab salah seorang teresak-esak.

***
Okay, aku mengaku budak berdua tadi adalah aku dan abang aku. Kami ditinggalkan di rumah sementara ayah pergi dinner. Mak takde, dia dekat UK. Belajor.

Apapun, sebenarnya kami sampai sekarang tak pasti samada rancangan TV yang ditonton malam tu betul-betul cerita hantu atau kami yang rasa apa yang kami tengok tu cerita hantu.

Tapi seram la kalau tidak takkan kami menjerit.