Wednesday, October 22, 2014

Bercakap dengan Opah 3

Apabila sudah mandi dan sudah duduk semula di atas katil, dan setelah baju dipakai dan kain batik disarungkan, aku akan beri opah sesisir sikat. Kadang-kadang aku akan sikatkan opah, dan bila aku yang sikatkan sudah tentu aku akan sikat dalam pelbagai gaya. Biasanya aku akan akhiri dengan pembentukan remos ala-ala Superman. Tetapi selalunya aku akan bagi opah sikat sendiri, supaya dia exercise sikit tangan dia.

Pada hari itu, aku berikan opah satu sikat lipat yang biasa kita akan dapat dalam toiletries kit. Sikat lipat yang sebelahnya sikat halus dan sebelah lagi berus jarang. Walaupun bukan kali pertama aku berikan sikat itu kepadanya, tetapi hampir setiap kali dia akan kagum. "Eh cantik sikatnya ye."

Bergantung pada keadaan dan mood, selepas selesai dengan Opah aku akan terus menguruskan Mak Yang, atau kalau aku sudah uruskan Mak Yang terlebih dahulu, aku mula buat kerja lain seperti menyediakan makan tengahari mereka berdua. Yang pasti pada waktu itu aku akan mundar-mandir di ruang tamu, melalui hadapan bilik opah.

Pada beberapa ketika selepas aku berikan sikat, Opah yang waktu itu masih menyikat rambut tiba-tiba memanggil aku.

"Hey!". Aku berhenti, memandang Opah dari luar bilik.

"Kamu ada dapat sikat ni? Ada tak deme bagi kamu macam ini?"

Seperti ikan emas, memori Opah kadang-kadang sependek beberapa minit. Dalam ingatannya yang kabur itu, dia rasa ada seseorang baru beri dia sikat lipat. Dan orang dalam ingatnnya itu tidak serupa macam aku. Tetapi seperti yang dikatakan oleh seorang kawan, itu barangkali juga hasil tindakan luar sedar Opah yang bernaluri ibu. Apa yang dia dapat, dia mahu pastikan anak cucunya juga dapat.

Sebenarnya selain kes sikat ini, soalan lebih kurang selalu ditanya Opah selepas aku hidangkan makanannya. Di samping bertanya samada aku sudah makanatau belum, dia juga akan menjerit
memastikan Mak Yang di bilik sebelah turut dapat makanan. Kadang-kadang setiap 5 minit.

"Hey! Kamu ada dapat sikat ni? Ada tak deme bagi kamu macam ini?'

Supaya opah berpuas hati, aku jawab, "Ada, ada".

No comments: