Kadang-kadang semasa memandu di sekitar kejiranan dan aku terserempak dengan seekor kucing contohnya, aku akan buka tingkap dan tegur "Hey!". Dan seringkali, terutamanya kucing, akan lari selepas ditegur aku. Ada juga yang kadang-kadang kehairanan cuba mencari sumber teguran. Yang ini aku biasanya akan sambung dengan bertanya "Haa nak ke mana tu?". Bertanya dengan serius seperti benar-benar mahukan jawapan.
Bukan sahaja kucing, anjing pun aku akan ajukan dengan soalan yang sama. Dan seperti kucing, anjing juga akan lari bila ditegur begini, bezanya anjing nampak seperti lari kerana malu berbanding kucing yang lari kerana bersalah. Malu-malu seperti anjing bertelinga sebelah yang lalu di depan rumah aku satu malam. Aku tegur dia berhenti, tetapi bila datang dekat terus lari. Telinga pun koyak sebelah, nampak sangat nakal.
Aku juga pernah tegur dua ekor tikus di syurga tikus Uptown Damansara, baru-baru ini. Tak sangka juga salah seekor siap berhenti ditengah-tengah jalan selepas aku tegur. Tergamam mungkin. Dan kami sempat bertentang mata. Cuma aku tak pasti samada dia merenung mata aku atau merenung sepeket spagetti Selvam yang sedang aku genggam usai membelinya di KK Mart.
Tetapi apa yang lebih alarming ialah, aku nampaknya seperti menegur hampir kesemua lapisan binatang. Sehinggakan ketika menebas rumput di depan rumah tempohari, aku tegur seekor cicak hitam berbelang yang berlari berdesup selepas dapat tahu rumput di atasnya sedang ditebas. Macam biasa aku tegur dengan "Hey", tetapi kali ini perlahan sikit kerana ada sedikit rasa bersalah menganggu habitatnya. Ya, ini aku yang dulunya mencari hiburan petang dengan mencairkan siput dengan garam atau bakar dengan pemetik api dapur.
Memang bila difikirkan balik, bercakap dengan bintang yang tak mungkin menjawab balik ini seperti kerja orang gila. Tetapi dalam dunia yang semakin gila ini, barangkali itu caranya untuk kekal siuman.
No comments:
Post a Comment