Tuesday, December 23, 2014

Kabur

Segalanya perlahan
Tatkala jatuh sejuta titisan
Cahaya pecah hilang sempadan
Ribuan batu hilang cekap cengkaman

Kepala bertemu punggung
Kulit bertemu kepala
Yang bertelanjang bertemu kaca
Langkah terhenti dek bunyi bergema

Dari jauh samar menyapa
Bagai senggama tanpa irama
Tetapi masa tiada menanti
Lalu bersama tanpa rela


Percubaan puisi pertama. Apa macam? Kah kah kah

Monday, December 1, 2014

Alter Ego

"Boleh cakap dengan (tak berapa jelas) ?", kedengaran suara dalam telefon di sebelah sana. Akhiran ayatnya tidak berapa jelas. Tetapi yang pasti bukan nama aku. Waktu itu aku di pejabat orang lain, sedang mesyuarat. Hampir juga aku terus mengatakan salah nombor kerana baru-baru ini aku dapat panggilan daripada seseorang yang mahu bercakap dengan Ivy.

Tetapi entah kenapa untuk kepastian aku bertanya juga.

"Boleh cakap dengan Rabiatul Adawiah?", kali ini lebih jelas.

Hah Rabiatul Adawiah? Aku terkejut sebentar. Itu nama Kak Rok. Kemudian baru aku teringat yang Kak Rok ada menghantar road tax baru keretanya ke ofis aku guna MyEG. Aku yang pada ketika masih tidak berkereta, Kak Rok dengan baik hatinya telah meminjamkan keretanya kepada aku memandangkan dia tiada di Malaysia.

Jadi barangkali yang bertalipon itu ialah orang MyEG yang mahu bertanyakan alamat pejabat aku. Aku terdiam sebentar untuk memikirkan apa yang perlu dijawab. Bagaimana aku mahu mulakan cerita bahawa aku ini bukan Rabiatul Adawiah tetapi hanyalah kawan yang diberi pinjam keretanya.

"Ye, saya".