Mimpi adalah subjek yang menarik. Sigmund Freud sendiri ada menulis satu buku hanya tentang mimpi. Aku sendiri pernah mengalami bermacam jenis mimpi, dari mimpi lucid (iaitu di mana di pertengahan mimpi aku menyedari aku sedang bermimpi dan mula mengawal mimpi aku), ke mimpi di mana aku mengejar satu makhluk bernama maut sehinggalah mimpi yang terus berjalan dengan sebelah mata aku terbuka.
Tetapi antara mimpi yang aku paling ingat dan dibelenggu misteri ialah satu dia mana melibatkan opah aku dan kota London.
***
Mimpi aku bermula dengan aku dan opah berlegar-legar di dalam Buckingham Palace. Ramai orang waktu itu ke hulu ke hilir di bahagian apa yang aku bayangkan sebagai satu koridor yang besar. Pada waktu itu aku tak pasti ke mana arah tuju kami.
Dalam tercari-cari entah apa, kami bertembung dengan Queen Elizabeth, yang dengan terus menegur opah aku. "Hendun, kenapa pakai selipar?", tegur Queen. Dia kemudian membawa kami ke dining hall untuk makan malam.
***
Mimpi aku berakhir ketika kami dalam perjalanan ke dining hall. Dari segi dasar tiada apa yang misteri, tetapi sebenarnya sewaktu dalam mimpi, aku tidak terkejut dengan hubungan opah dan Queen. Aku pada waktu itu sudah tahu bahawa opah dan Queen dulu pernah bersekolah bersama-sama di Gunung Mesah. Waktu itu Malaysia masih di bawah British, dan Queen sewaktu mengikut bapanya melawat tanah jajahan telah dihantar bersekolah di sekolah pondok Gunung Mesah Hilir, Gopeng, Perak.
Kenapa dia bersekolah di situ aku tak tahu. Tetapi maklumat ini sudah sedia di dalam memori aku sewaktu mimpi bermula. Walaupun aku tahu tidak benar, tetapi maklumat ini seakan-akan satu fakta yang aku sudah lama tahu. Seperti aku pernah bermimpi dan memproses maklumat ini, walhal memang aku tidak pernah bermimpi tentang perkara ini.
Jenuh aku mencari di internet fenomena mimpi ini walaupun sudah hampir 10 tahun mimpi ini berlaku, dan aku masih tak menemui jawapannya. Secara ringkas ia adalah sejenis mimpi di mana satu maklumat palsu atau false memory menjadi precursor kepada sesebuah mimpi.
Aku agak bingung sejurus selepas mengalami mimpi ini dan keliru antara realiti dan false memory sehingga keesokan paginya aku bertanya kepada opah: "Opah dulu pernah bersekolah dengan Queen ke?"