Monday, August 30, 2010

Di Balik Gobok

Sofea mencepak-cepak setelah merasa sedikit habuk batang buruk daripada sebuah balang terbuka. Kerja budak-budak dia lah ni. Dia merasa lagi. Sedap pulak katanya dalam hati. Sambil mencepak dia memandang ke atas dan cuba untuk mengenali rasa habuk batang buruk itu. Macam rasa apa ye. Kemudian di menggigit secebis daripada batang buruk tadi. Lembut dan rapuh. Sedap. Tanpa disedari habis sebatang ditelannya.

Sambil menjilat-jilat habuk batang buruk di sekeliling mulutnya, Sofea menggelengkan kepala. Aish, sedap betul katanya. Ada rasa manis, rasa lemak, masin-masin sikit pun ada. Just nice. Jauh lebih sedap dari kayu-kayu almari yang menjadi santapannya selama 8 tahun, tegas Permaisuri Anai-anai itu lagi sambil memeluk batang buruk kedua.

Saturday, August 21, 2010

Drama Melayu Lagi

Dalam situasi ini, ada tiga orang sedang menunggu di ruangan menunggu hospital. Tiada orang lain, hanya mereka bertiga. Dua lelaki satu perempuan.
Kemudian seorang doktor perempuan masuk ke dalam ruangan menunggu. Doktor Ayu nama dia rasanya. Dan seperti biasa, dengan tipikalnya, ketiga-tiga manusia yang menunggu tadi bangun dan menumpukan perhatian kepada Doktor Ayu. Jarak antara mereka boleh dikatakan satu kaki setengah, maksimum.
"Macam mana doktor?", adalah soalan wajib dalam situasi ini. Barangkali, perkara ini sudah tertulis dalam buku teks penulisan skrip drama. Boleh jadi. Okay, tak mengapalah.

Doktor Ayu menyatakan keadaan terkawal tetapi, "Ada sesuatu yang saya perlu bincangkan dengan encik Rizman", tambahnya. "Mari ikut saya".
Jadi salah seorang daripada mereka bertiga yang bernama Rizman ini meninggalkan ruang menunggu mengikut Doktor Ayu ke pejabatnya.

Dan sejurus Rizman dan Doktor Ayu hilang dari pandangan, wanita yang menunggu bersama-sama tadi, Suraya mungkin namanya, aku tak ingat bertanya kepada lelaki yang seorang lagi: "Rizman pergi ke mana tu?", dengan muka sehabis panik.

Ini menarik. Kita sebagai penonton pun tidak tahu apa yang mahu dibincangkan Doktor Ayu dengan Rizman. Dan soalan Suraya itu walaupun agak menghairankan, mungkin memaksudkan dia mahu tahu apakah perkara yang mereka mahu bincangkan. Lelaki yang diajukan soalan ini (aku namakan dia sebagai Din), berpeluk tubuh, mengecilkan mata, dan menarik nafas sedikit sebelum memberi jawapan. Boleh nampak Din berfikir sedikit sebelum menjawab. Pasti Din tahu sesuatu yang kita, penonton, dan Suraya tidak tahu.

"Ermm.. Doktor Ayu ada sesuatu nak bincang dengan Rizman". Full stop. Momen yang memang membunuh mood.

Perlukah intelektualiti penonton dihina sebegitu? Soalan retorik. Jangan bagi jawapan seperti Din.

Baru ingat nak bagi peluang kedua kepada drama-drama melayu bersiri macam ni. Terpaksa aku sahur ekstra sekeping roti sebagai pampasan penghinaan ini.

Wednesday, August 18, 2010

Apabila Sesat Dalam Hutan

Gunakan iPhone kamu dan keliling seorang kawan yang memegang botol air secara menegak. Ini dinamakan kompas manusia.

Ataupun kamu boleh bertanyakan arah jalan pada penghuni rumah di belakang sana

Monday, August 9, 2010

Pangkat Dua Bahagian Dua

Masuk ke dalam kedai sukan berjenama dengan berbaju melayu, seluar berlubang dan selipar jenama Asadi, tiada siapa pedulikan kehadiran walaupun tiada pelanggan lain. Double standard di negara ini masih kuat rupanya.

Tambah menyakitkan hati ialah belum habis bertanyakan soalan-soalan berkenaan sebelah kasut yang menarik minat, promoter berwajah pan-asian yang tergagap-gagap berbahasa melayu, beriya-iya menuding ke arah kaki dan berkata: "Takde saiz".

Tuesday, August 3, 2010

Melukis-lukis

Aku sedang melihat video orang melukis potret di komputer apabila Syahir yang mencuri-curi tonton di belakang memberi komen: "Susah sial nak lukis potret"

"Demmit!" aku kata dalam hati. Aku tak kenal rupanya si Syahir ni. Melukis potret memang susah, dan kenyataan Syahir secara spesifik itu agak mengelirukan aku. Bukan calang-calang orang boleh mengeluarkan kenyataan begini.

Jadi bagi meleraikan kekeliruan aku bertanya soalan basic kepada Syahir. Habis basic:
"Kau reti lukis Arnab?"

Syahir terdiam dan menggelengkan kepala.
"Bagi la aku can!!!", jeritnya.

Kami ketawa. Aku ketawa dengan gaya Mumbra, mata terpejam. Sambil menarik balik tanggapan-tanggapan dalam hatiku tadi.