Dalam situasi ini, ada tiga orang sedang menunggu di ruangan menunggu hospital. Tiada orang lain, hanya mereka bertiga. Dua lelaki satu perempuan.
Kemudian seorang doktor perempuan masuk ke dalam ruangan menunggu. Doktor Ayu nama dia rasanya. Dan seperti biasa, dengan tipikalnya, ketiga-tiga manusia yang menunggu tadi bangun dan menumpukan perhatian kepada Doktor Ayu. Jarak antara mereka boleh dikatakan satu kaki setengah, maksimum.
"Macam mana doktor?", adalah soalan wajib dalam situasi ini. Barangkali, perkara ini sudah tertulis dalam buku teks penulisan skrip drama. Boleh jadi. Okay, tak mengapalah.
Doktor Ayu menyatakan keadaan terkawal tetapi, "Ada sesuatu yang saya perlu bincangkan dengan encik Rizman", tambahnya. "Mari ikut saya".
Jadi salah seorang daripada mereka bertiga yang bernama Rizman ini meninggalkan ruang menunggu mengikut Doktor Ayu ke pejabatnya.
Dan sejurus Rizman dan Doktor Ayu hilang dari pandangan, wanita yang menunggu bersama-sama tadi, Suraya mungkin namanya, aku tak ingat bertanya kepada lelaki yang seorang lagi: "Rizman pergi ke mana tu?", dengan muka sehabis panik.
Ini menarik. Kita sebagai penonton pun tidak tahu apa yang mahu dibincangkan Doktor Ayu dengan Rizman. Dan soalan Suraya itu walaupun agak menghairankan, mungkin memaksudkan dia mahu tahu apakah perkara yang mereka mahu bincangkan. Lelaki yang diajukan soalan ini (aku namakan dia sebagai Din), berpeluk tubuh, mengecilkan mata, dan menarik nafas sedikit sebelum memberi jawapan. Boleh nampak Din berfikir sedikit sebelum menjawab. Pasti Din tahu sesuatu yang kita, penonton, dan Suraya tidak tahu.
"Ermm.. Doktor Ayu ada sesuatu nak bincang dengan Rizman". Full stop. Momen yang memang membunuh mood.
Perlukah intelektualiti penonton dihina sebegitu? Soalan retorik. Jangan bagi jawapan seperti Din.
Baru ingat nak bagi peluang kedua kepada drama-drama melayu bersiri macam ni. Terpaksa aku sahur ekstra sekeping roti sebagai pampasan penghinaan ini.
No comments:
Post a Comment