Tuesday, May 26, 2015

Masuk Kandang Kambing Mengembek. Masuk Kandang Harimau, Mintak Simpang, Carilah Jalan Keluar (Bahagian 2)

Bahagian pertama di sini (Bahagian Pertama)

Aku mula berjalan laju kembali ke arah asal aku. Dalam keadaan beresak-esak dengan orang ramai yang hiruk-pikuk, aku bagaimanapun masih dapat mengasingkan bunyi tapak kaki lelaki yang menjerit ke arahku tadi. Bunyinya semakin laju dan rasanya semakin dekat di belakang aku. Tanpa menoleh, aku mempercepatkan langkah.

"Hoi jangan lari!", jeritan lelaki itu kedengaran dekat di belakang dengan anggaran jarak sekitar 10 meter. Aku dapat merasakan kelompok manusia di belakang aku sedang membuka ruang. Wajah-wajah orang ramai di hadapan aku yang mana mata mereka yang menembusi aku melihat ke belakang, menggambarkan ketakutan.

Aku melangkah dengan lebih laju menyusuri lautan manusia sehinggalah aku terdengar bunyi tembakan,dari belakang. Tanpa menoleh ke belakang, hipotesis aku menyatakan tembakan dilepaskan oleh lelaki yang mengejar aku, ke udara. Orang ramai di bazar itu terdiam dan kaku selama kurang satu saat sebelum semuanya lari bertempiaran.

Dalam menggigil, aku tunduk dan terus memecut. Tanah yang sedikit basah dan berlumpur agak mengganggu kelajuan aku berlari. Aku mula berfikir, kalaulah aku sahut sahaja panggilan lelaki berjambang ini tadi, mungkin tak sampai dia perlu menggunakan pistol. Mungkin aku hanya perlu diam, berhadapan dengannya dan minta maaf, walaupun aku tak tahu kesalahan aku. Ia ibarat lari dan dikejar anjing, engkau tak tau kenapa engkau lari, anjing pun tak tau kenapa dia mengejar.

Tapi nampaknya sudah terlambat.

Dalam hiruk-pikuk orang ramai yang berlari ke semua arah, aku menyusup laju di celah-celah, cuba melepaskan diri daripada ligan lelaki berjambang itu. Naluri 'survival' aku kemudiannya memberi ilham untuk menyelinap di celah gerai apam balik dan jagung rebus, memintas ke lorong sebelah di dalam bazar yang berlapis-lapis ini.

Bagi menambah kekeliruan kepada pengejar, aku belari sedikit ke hulu lorong dan kemudian memintas lagi kali ini di celah kedai minyak wangi dan permainan kanak-kanak. Aku berjaya menjarakkan diri dan barangkali melepaskan diri daripada dikejar. Kepenatan, aku berhenti mengambil nafas di belakang gerai tuala dan aksesori koboi apabila satu suara menegur aku.

"Nah ambil ni", kata suara itu. Apabila aku mendongakkan muka ke arah suara itu, sebuah topi sedang terbang ke arahku. Aku menangkap cermat sebelum topi itu menghinggap ke muka.

"Pakai topi tu lekas. Blend in. Dia tak akan kenal kau", sambung peniaga aksesori koboi itu. Terpinga-pinga aku terus memakai topi itu sambil ternganga menunggu arahan seterusnya.

"Keluar dari sini. Tunduk sambil lari-lari anak."

Tanpa memulakan pertanyaan dengan perkataan  'tapi' seperti kebanyakan drama Melayu, aku tunduk memegang topi dan mula berlari ke arah hilir bazar. Sambil berlari-lari anak aku baru terfikir yang semua penduduk di pekan ini memakai topi koboi. Barangkali selama ini aku seorang sahaja yang 'free-hair', dan itu yang telah menarik perhatian lelaki berjambang tadi.

Pada waktu itu orang ramai masih berkeliaran berlari-lari tanpa arah, tetapi tidak seramai mula-mula tadi. Dalam beberapa meter aku berlari menunduk dari kedai aksesori koboi tadi, aku terpandang sepasang kaki yang kelihatan familiar datang dari arah bertentangan. Berkasut kulit, berseluar rambu. Aku naikkan sedikit pandangan dan ternampak selempang kulit dan sepucuk pistol di tangan kanan.

Kami bertentang mata, aku dan lelaki berjambang yang mengejar aku tadi, dengan jarak lebih kurang 6 meter. Aku tergamam, namun dia seperti memandang aku sepintas lalu. Dia kemudian terus berjalan laju sambil matanya melilau seperti tercari-cari sehingga kami berselisih.

Memang benar kata peniaga aksesori koboi tadi.

...bersambung