Tuesday, April 12, 2016

Graf Umur

Tahun lepas, ketika Sasya dan Anis sibuk membuat kraftangan di meja aku, aku telah memasang salah satu lagu klasikal dalam playlist Rumput Hijau di Spotify aku. Sudah tentu lagu-lagu di dalam playlist itu hanya yang finest. Aku tak berapa ingat, samada karya Mozart atau Bach.

Dan aku pun bertanya kepada Anis, yang waktu itu berumur 8 tahun. "Sedap tak lagu ni Anis?"

"Tak sedap".

Speechless, aku hanya mampu gelak kecil.

Tadi, abangnya Aiman, sewaktu sedang bermain permainan video di dalam bilik aku, komputer aku sedang memainkan lagu-lagu Niccolo Paganini daripada video Youtube bertajuk The Best of Paganini.

Aku pun bertanya kepada Aiman, yang berumur 11 tahun. "Sedap tak lagu ni Aiman?"

"Sedap"

Pada waktu itu juga aku dapat buat kesimpulan bahawa umur berkadar langsung dengan kemahiran menipu.

Wednesday, April 6, 2016

Binatang yang Dalam Kemarahan

Apabila berenang bersama ikan jerung beberapa hari lepas, aku tiba-tiba terfikir akan sifat binatang. Binatang yang jenis menyerang khususnya. Binatang yang menyerang, seperti jerung, membuatkan aku tertanya-tanya kenapa mereka menyerang.

Mengetepikan binatang-binatang yang kelaparan, aku merumuskan binatang-binatang ini sedang dalam kemarahan. Seperti jerung-jerung yang menyerang peluncur-peluncur air di Australia dan Afrika Selatan. Aku tak rasa mereka menyerang kerana mahu makan tengah hari tetapi lebih kerana nafsu amarah. Tak boleh langsung nampak kelibat peluncur melayan ombak, mesti mahu diserang.

Dan yang lebih menimbulkan tanda tanya dalam minda aku ialah apa yang terlintas dalam fikiran binatang-binatang ini apabila dalam kemarahan. Mengambil contoh jerung tadi, apakah yang difikirkan agaknya, bila sedang sedap-sedap berenang di laut, tiba-tiba muncul bayang manusia dengan papan sebesar alam mereka.

Adakah mereka terus marah tanpa ekspresi yang objektif, atau sebenarnya dalam hati mereka juga seperti manusia, mencarut dan menyebut: "Pantat!" ?

Friday, February 5, 2016

Precursor Mimpi

Mimpi adalah subjek yang menarik. Sigmund Freud sendiri ada menulis satu buku hanya tentang mimpi.  Aku sendiri pernah mengalami bermacam jenis mimpi, dari mimpi lucid (iaitu di mana di pertengahan mimpi aku menyedari aku sedang bermimpi dan mula mengawal mimpi aku), ke mimpi di mana aku mengejar satu makhluk bernama maut sehinggalah mimpi yang terus berjalan dengan sebelah mata aku terbuka.

Tetapi antara mimpi yang aku paling ingat dan dibelenggu misteri ialah satu dia mana melibatkan opah aku dan kota London.

***
Mimpi aku bermula dengan aku dan opah berlegar-legar di dalam Buckingham Palace. Ramai orang waktu itu ke hulu ke hilir di bahagian apa yang aku bayangkan sebagai satu koridor yang besar. Pada waktu itu aku tak pasti ke mana arah tuju kami.

Dalam tercari-cari entah apa, kami bertembung dengan Queen Elizabeth, yang dengan terus menegur opah aku. "Hendun, kenapa pakai selipar?", tegur Queen. Dia kemudian membawa kami ke dining hall untuk makan malam.
***

Mimpi aku berakhir ketika kami dalam perjalanan ke dining hall. Dari segi dasar tiada apa yang misteri, tetapi sebenarnya sewaktu dalam mimpi, aku tidak terkejut dengan hubungan opah dan Queen. Aku pada waktu itu sudah tahu bahawa opah dan Queen dulu pernah bersekolah bersama-sama di Gunung Mesah. Waktu itu Malaysia masih di bawah British, dan Queen sewaktu mengikut bapanya melawat tanah jajahan telah dihantar bersekolah di sekolah pondok Gunung Mesah Hilir, Gopeng, Perak.

Kenapa dia bersekolah di situ aku tak tahu. Tetapi maklumat ini sudah sedia di dalam memori aku sewaktu mimpi bermula. Walaupun aku tahu tidak benar, tetapi maklumat ini seakan-akan satu fakta yang aku sudah lama tahu. Seperti aku pernah bermimpi dan memproses maklumat ini, walhal memang aku tidak pernah bermimpi tentang perkara ini.

Jenuh aku mencari di internet fenomena mimpi ini walaupun sudah hampir 10 tahun mimpi ini berlaku, dan aku masih tak menemui jawapannya. Secara ringkas ia adalah sejenis mimpi di mana satu maklumat palsu atau false memory menjadi precursor kepada sesebuah mimpi.

Aku agak bingung sejurus selepas mengalami mimpi ini dan keliru antara realiti dan false memory sehingga keesokan paginya aku bertanya kepada opah: "Opah dulu pernah bersekolah dengan Queen ke?"