Sering berlaku apabila kita bersembang dengan rakan-rakan adalah pengulangan cerita. Kita ataupun rakan tadi mungkin akan bercerita tentang sesuatu yang pernah diceritakan sebelum ini. Perkara ini adalah biasa terutamanya bagi yang mempunyai rakan-rakan di berlainan tempat. Kekeliruan mula timbul adakah cerita ini sudah diceritakan pada rakan yang ini atau belum.
Tetapi apa yang menariknya ialah reaksi daripada rakan yang mendengar cerita itu. Ada yang menepis secara menerus ada juga yang memberi petanda secara halus.
Yang menepis secara menerus biasanya akan berkata,
"Laa ini kau dah pernah cerita la dulu."
Membuatkan si pencerita yang sedang bersemangat menjadi sedikit malu kerana ceritanya telah dipotong begitu sahaja.
Dan bagi yang memberi petanda secara halus, biasanya akan menyambung ayat pencerita seperti,
"Ooo yang kau cerita dia mati lepas tu."
Ini dikatakan halus kerana kata seru "ooo" menunjukkan audien tadi berminat mendengar cerita itu walaupun mesej tersiratnya bebrbunyi: "ok tak perlulah diperpanjangkan cerita ini memandangkan aku sudah tahu"
Aku pula apabila menjadi pencerita dalam situasi kedua, biasanya akan menyambung,
"Haaa, nak pulak 2 minggu sebelum tu anak dia ada cakap...".
Menyambung dengan satu cerita yang aku yakin belum pernah diceritakan sebelum ini.
Aku adalah jenis yang memberi petanda secara halus. Bagaimanapun itu bergantung kepada ceritanya. Jikalau ceritanya sememang diketahui panjang, sesiapa yang berminda sihat akan mematikan ceritanya dengan memberi petanda kurang halus seperti,
"Ha lepas tu dia mati kan?"
Tidak secara menerus tetapi bunyinya muktamad dengan intonasinya kurang berminat.
Namun perkara pengulangan cerita ini ada banyak variasinya, sehingga aku sendiri tidak tahu mengkategorikannya. Seperti beberapa hari yang lalu ketika minum bersama beberapa kutu, aku ada menimbulkan hal aku kehilangan kad Touch n' Go. Aku membuat andaian bahawa kad aku tadi telah dicuri.
Mendengarkan hal ini salah seorang kutu tadi dengan naydinnya menyampuk,"Ini bukan musim orang curik Touch n' Go la". Mukanya serius. Mata tidak dipejam.
Aku mengangguk diam tanda setuju. Tetapi pada masa yang sama hati aku tercuit. Apa yang dikatakannya memang benar bahawa sekarang bukanlah musim orang mencuri Touch n' Go.
Tetapi aku tercuit kerana mungkin dia terlupa beberapa hari lalu aku sendiri bercerita kepadanya hal kecurian Touch n' Go adalah satu jenayah bermusim.
2 comments:
hahaha mcm kenal je kutu tu??
ye kutu tu memang kau kenal dan kuat makan.
Post a Comment