Thursday, April 28, 2011

Paralaks Adat

Jam 26.
Sudah 26 jam, 1371 puisi, 120 pembayang unik, 78 guru, 152 siswazah, 1141 pelajar dan 30 orang awam. Berikut menggambarkan intensiti acara ini. Acara membaca puisi secara terus menerus tanpa henti selama 30 jam di hadapan perpustakaan negara ini bakal mencipta rekod baru negara dalam pembacaan puisi tanpa henti, memecahkan rekod sebelum ini iaitu selama 1 jam 12 minit. Ini dikatakan acara kebangsaan kedua terbesar pada tahun itu selepas Piala Thomas.
Acara pembacaan puisi tanpa henti memerlukan peserta-pesertanya untuk membaca puisi berganti-ganti, tak kira syair, sajak, pantun atau gurindam, tanpa rehat. Jikalau ada saja jangka senyap selama 3 saat, rekod akan dibatalkan.
Di suatu sudut tercegat Shaari, Khalidi dan Huzaifah. Shaari, seorang entusias budaya, adalah kawan kepada Khalidi. Khalidi, seorang saintis, adalah pacar kepada Huzaifah. Dan Huzaifah, seorang siswi universiti tempatan adalah seorang AJK kepada majlis ini. Pertemuan mereka adalah secara sengaja dan kebetulan. Khalidi memang sengaja mahu bertemu Huzaifah, manakala Shaari kebetulan mahu memulangkan buku yang dipinjamnya, "Pengenalan kepada Pencak Silat" tulisan Halimi Mansor.

Dalam perkenalan itu, Shaari tiba-tiba menawarkan diri untuk berpuisi. Dia ingin mewakili kategori orang awam, sesuatu yang amat digalakkan oleh penganjur. Dan sudah tentulah ini satu berita baik buat Huzaifah yang memang menggalakkan orang awam untuk terlibat.

Tiba giliran Shaari, dia bergegas ke pentas. Takut kalau terlepas 3 saat yang bakal memutuskan rekod yang dibina beribu orang sejak berjam-jam yang lalu. Orang ramai yang pada itu lebih tertarik dengan fizikal Shaari menanti dengan penuh keterujaan, terutama sekali Huzaifah dan Khalidi.

"Golek gelentang menanti nyawa," Shaari memulakan pembayangnya kepada apa yang boleh diaktakan sebagai pantun.

Wow. Detak hati penonton-penonton. Pembayang yang tidak pernah mereka dengar selama ini. Profesor-profesor bahasa yang asyik bersembang dengan orang di sebelah, bersila panggung, siku di sandar kerusi, badan sedikit senget, kini mula membuka telinga mengalih pandangan ke tengah pentas.

"Datang nyawa badan binasa," sambung Shaari. Senyuman dapat dilihat di wajah Huzaifah dan Khalidi. TIdak silap dia memberi peluang kepada Shaari naik ke pentas. Bukan calang-calang pemuisi rupanya.

"Apakah saya?"
Sejurus selepas mengajukan soalan itu, Shaari dengan tenang meletakkan mikrofon pada tempatnya. Sambil tersengih dengan tanpa rasa bersalah, dia turun ke pentas dengan rasa bangga. Dia terus duduk di barisan hadapan yang agak kosong, bersilang kaki, sambil tangan kanannya bergendang-gendang perlahan pada sandar kerusi kosong di sebelahnya. Bangga.

Bangga kerana dia memang pasti ramai yang tidak dapat menjawab teka-teki nya.

No comments: