Dulu, semasa ayah aku masih bekerja di TNB, aku selalu mengikut dia berjalan serata negara jika ada mesyuarat atau conference dan sebagainya. Biasanya, aku dan abang akan mengikut serta. Mak, kalau dia tak sibuk baru dia akan ikut.
Aku teringat dulu, sewaktu Hari Keluarga TNB Transmission diadakan di Tanjung Tuan.Waktu itu aku baru darjah 4 dan kami berempat semua ada turut serta. Kami menginap di guesthouse TNB kalau tak silap. Di sana aku bertemu dengan seorang kawan baru yang aku panggil dengan nama Abang Patrick, semasa bermain-main di tepi pantai.
Abang Patrick ini sebenarnya adalah anak salah sorang rakan sekerja ayah aku. Dan dari panggilannya, sudah tentu Abang Patrick ini lebih tua daripada kami. Jauh lebih tua, kurang-kurang antara 16-17 tahun. Tetapi dia nampak selesa berkawan dengan kami, menyebabkan timbul rasa semacam dalam diri aku. Cara pertuturannya dan gaya teruja dia apabila menunjukkan tapak sulaiman kepada kami, menghantui aku dengan pelbagai anggapan, sehingga aku hampir-hampir bertanyakan dia satu soalan.
Walaupun pada ketika itu aku merasakan soalan yang ingin aku ajukan itu wajar, atau bak kata budak zaman sekarang, "seemed legit", tetapi aku rasa tidak berapa yakin. Jadi pada waktu malamnya aku rujuk kepada ibu bapa aku tentang kewajaran soalan aku itu, sebelum aku ajukan pada esok hari. Dan serta merta ibu bapaku memberikan reaksi negatif. Dengan kata-kata seperti : "Hish apa tanya gitu pulak. Jangan tanya, jangan tanya" "Eeee nasib baik kamu tak tanya", aku tahu aku tidak akan dapat jawapan daripada Abang Patrick.
Apa salahnya aku nak tanya Abang Patrick dengan soalan: "Abang Partrick, Abang Patrick ni cacat ke?"
1 comment:
Kalau omputeh, boleh le ang nak tanya soklan macam tu.
Kalau om mesia, silap aribulan kecik ati le orang tu.
Post a Comment