Thursday, October 30, 2014

10 Lagu Terbaik M. Nasir

Kadang-kadang bila aku rasa satu lagu oleh satu-satu artis itu seperti yang terbaik pernah ia hasilkan, aku akan google pendapat orang lain. Adakah aku seorang yang rasa itu lagu terbaiknya atau ada lain yang menyatakan benda yang sama, sekurang-kurangnya dalam top ten list. Dan tiada seorang pun dalam dunia internet ini yang membuat senarai lagu-lagu terbaik M. Nasir.

Ye, bukan mudah sebenarnya nak menilai lagu-lagu M.Nasir ni. Entah berapa banyak lagu yang dia pernah tulis dan untuk shortlist lagu-lagunya pun susah. Akan tiba momen seperti, "Eh, lagu yang ini pun best jugak".

Jadi, apa yang boleh dibuat ialah dengan mencipta kriteria. Di sini aku hanya mengambilkira lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh dia sendiri, originally (dan duet dengan peranannya sekurang-kurangnya 50%). Maksudnya album Sri Kandi Cintaku di mana dia menyanyikan semula lagu-lagu ciptaannya untuk nyanyian artis-artis lain tidak akan dikira terus. Lagu-lagunya bersama Kembara juga aku ketepikan. Itupun masih payah. Aku sampai demam tunggang terbalik dalam usaha menyiapkan senarai ini.


10.  Phoenix Bangkit Dari Abu (Phoenix Bangkit, 2001)
Lagu semangat, lagu kebangkitan. Aku jauh lebih gemar lagu ini dalam kategori lagu semangat berbanding Mentera Semerah Padi. Dan album ini pun barangkali simbolik kebangkitan M. Nasir yang kali terakhir mengeluarkan album original adalah pada tahun 1993 (Canggung Mendonan)

9. Apokalips (Saudagar Mimpi, 1992)
Ini lagu yang sedap nyanyi ramai-ramai. Lagu jamming yang boleh buat khayal dan boleh berpanjangan sehingga entah berapa minit. Liriknya yang nampak mudah tetapi penuh dengan dakwah.


8. Falsafah Cinta (S.O.L.O, 1988)
Pertama kali dengar lagu ini ialah versi nyanyian Zamani Slam. Memang sedap. Dan setelah mendapat tahu lagu ini asalnya dinyanyikan M. Nasir dan Rahim Maarof, terus aku masukkan dalam senarai. Dari segi lagu-lagu cinta, ini barangkali merangkumi skop cinta yang paling luas.

7. Anak-anak Kita (Canggung Mendonan, 1993)
Aku pernah menonton di TV dahulu, rancangan MHI, di mana satu kumpulan muzik dari UPM dijemput dan mereka cover lagu Anak-anak Kita. Ini jauh dulu sebelum aku kemudian memasuki UPM. Tapi dek kerana itu barangkali kali pertama aku lihat lagu itu dpersembahkan secara live, baru aku dapat appreciate nilai eklektik dalam lagu ini.

6. Tujuh Nafas Lagi (Sang Pencinta, 2006)
Buat masa ini, Sang Pencinta adalah album M. Nasir yang paling latest. Album ini, seperti Phoenix Bangkit menampilkan lagu-lagu M. Nasir yang fresh dan lain mood-nya dengan lagu-lagu album sebelum ini. Lagu paling favrit aku dalam album ini ialah Tujuh Nafas Lagi, sebuah lagu berkonsep ketuhanan.


5. Bagaikan Sakti (OST Puteri Gunung Ledang, 2004)
M. Nasir dan Siti Nurhaliza. Apa lagi kau nak?

4. Mustika (S.O.L.O, 1988)
Antara lagu awal pasca Kembara. Siapa boleh lupa video klip lagu ini yang sering muncul di TV1 malam-malam awal 90an? Ini adalah lagu definitif M. Nasir. Dan mungkin juga lagu M. Nasir pertama yang aku dengar.


3. Aduhai Kasih Aduhai (Canggung Mendonan, 1993)
Lagu ini ada sedikit sentimental value. Masih teringat waktu semester 1 ketika minggu exam dan kami biasanya akan mentelaah sampai ke pagi. Aku dan Dugong biasanya akan mengulangkaji sambil mendengar THR slot Isma Halil Hamzah. Dan satu pagi menjelang subuh, setelah penat memerah otak, Isma Halil pasang lagu ini. Feeling-nya dikuatkan dengan aku duduk memandang keluar tingkap bilik di tingkat tujuh itu.

2. Sentuhan Listrikmu (Canggung Mendonan, 1993)
Ini lagu yang orang panggil surefire. Sekali dengar dah boleh jatuh cinta. Dan barangkali ini lagu yang semua pengikut M. Nasir tahu dan hafal liriknya. Ada sesuatu juga pada liriknya. Seperti lagu Stardust (Mitchell Parrish), ia mungkin ditujukan buat sesorang yang sudah tiada.


1. Oh! Anak / Langgam Pak Dogo (Phoenix Bangkit, 2001)
Seperti yang pernah aku senaraikan dalam Senarai Terbaik sebelum ini, kedua-dua lagu ini aku isytihar sebagai lagu terbaik M. Nasir. Melodi dan liriknya sangat lengkap dan kata orang perfect for each other. (Aku pernah terbaca yang lirik bagi Langgam Pak Dogo sebenarnya mencerminkan sufism M. Nasir*. Tapi aku baca sekali lalu je, takut juga kalau gila isim). Aku tak dapat nak pilih salah satu, jadi terpaksa angkat kedua-duanya.

Apa macam? Tak puas hati dengan senarai ini? Nyatakan senarai anda.

*Kalau dibacapun lirik bagi lagu Langgam Pak Dogo ni memang tak paham. Inilah yang dinamakan puisi berlagu. Aku rasa ini kerja arwah Loloq.

Wednesday, October 22, 2014

Bercakap dengan Opah 3

Apabila sudah mandi dan sudah duduk semula di atas katil, dan setelah baju dipakai dan kain batik disarungkan, aku akan beri opah sesisir sikat. Kadang-kadang aku akan sikatkan opah, dan bila aku yang sikatkan sudah tentu aku akan sikat dalam pelbagai gaya. Biasanya aku akan akhiri dengan pembentukan remos ala-ala Superman. Tetapi selalunya aku akan bagi opah sikat sendiri, supaya dia exercise sikit tangan dia.

Pada hari itu, aku berikan opah satu sikat lipat yang biasa kita akan dapat dalam toiletries kit. Sikat lipat yang sebelahnya sikat halus dan sebelah lagi berus jarang. Walaupun bukan kali pertama aku berikan sikat itu kepadanya, tetapi hampir setiap kali dia akan kagum. "Eh cantik sikatnya ye."

Bergantung pada keadaan dan mood, selepas selesai dengan Opah aku akan terus menguruskan Mak Yang, atau kalau aku sudah uruskan Mak Yang terlebih dahulu, aku mula buat kerja lain seperti menyediakan makan tengahari mereka berdua. Yang pasti pada waktu itu aku akan mundar-mandir di ruang tamu, melalui hadapan bilik opah.

Pada beberapa ketika selepas aku berikan sikat, Opah yang waktu itu masih menyikat rambut tiba-tiba memanggil aku.

"Hey!". Aku berhenti, memandang Opah dari luar bilik.

"Kamu ada dapat sikat ni? Ada tak deme bagi kamu macam ini?"

Seperti ikan emas, memori Opah kadang-kadang sependek beberapa minit. Dalam ingatannya yang kabur itu, dia rasa ada seseorang baru beri dia sikat lipat. Dan orang dalam ingatnnya itu tidak serupa macam aku. Tetapi seperti yang dikatakan oleh seorang kawan, itu barangkali juga hasil tindakan luar sedar Opah yang bernaluri ibu. Apa yang dia dapat, dia mahu pastikan anak cucunya juga dapat.

Sebenarnya selain kes sikat ini, soalan lebih kurang selalu ditanya Opah selepas aku hidangkan makanannya. Di samping bertanya samada aku sudah makanatau belum, dia juga akan menjerit
memastikan Mak Yang di bilik sebelah turut dapat makanan. Kadang-kadang setiap 5 minit.

"Hey! Kamu ada dapat sikat ni? Ada tak deme bagi kamu macam ini?'

Supaya opah berpuas hati, aku jawab, "Ada, ada".

Thursday, October 16, 2014

Bercakap Dengan Binatang



Kebelakangan ini, well dalam berbulan juga lah, aku perasan yang aku semakin mempunyai pertalian yang kuat dengan dunia binatang. Aku suka bercakap dengan binatang dan bukan binatang yang aku kenal sahaja.

Kadang-kadang semasa memandu di sekitar kejiranan dan aku terserempak dengan seekor kucing contohnya, aku akan buka tingkap dan tegur "Hey!". Dan seringkali, terutamanya kucing, akan lari selepas ditegur aku. Ada juga yang kadang-kadang kehairanan cuba mencari sumber teguran. Yang ini aku biasanya akan sambung dengan bertanya "Haa nak ke mana tu?". Bertanya dengan serius seperti benar-benar mahukan jawapan.

Bukan sahaja kucing, anjing pun aku akan ajukan dengan soalan yang sama. Dan seperti kucing, anjing juga akan lari bila ditegur begini, bezanya anjing nampak seperti lari kerana malu berbanding kucing yang lari kerana bersalah. Malu-malu seperti anjing bertelinga sebelah yang lalu di depan rumah aku satu malam. Aku tegur dia berhenti, tetapi bila datang dekat terus lari. Telinga pun koyak sebelah, nampak sangat nakal.

Aku juga pernah tegur dua ekor tikus di syurga tikus Uptown Damansara, baru-baru ini. Tak sangka juga salah seekor siap berhenti ditengah-tengah jalan selepas aku tegur. Tergamam mungkin. Dan kami sempat bertentang mata. Cuma aku tak pasti samada dia merenung mata aku atau merenung sepeket spagetti Selvam yang sedang aku genggam usai membelinya di KK Mart.

Tetapi apa yang lebih alarming ialah, aku nampaknya seperti menegur hampir kesemua lapisan binatang. Sehinggakan ketika menebas rumput di depan rumah tempohari, aku tegur seekor cicak hitam berbelang yang berlari berdesup selepas dapat tahu rumput di atasnya sedang ditebas. Macam biasa aku tegur dengan "Hey", tetapi kali ini perlahan sikit kerana ada sedikit rasa bersalah menganggu habitatnya. Ya, ini aku yang dulunya mencari hiburan petang dengan mencairkan siput dengan garam atau bakar dengan pemetik api dapur.

Memang bila difikirkan balik, bercakap dengan bintang yang tak mungkin menjawab balik ini seperti kerja orang gila.  Tetapi dalam dunia yang semakin gila ini, barangkali itu caranya untuk kekal siuman.