Ada sesetengah benda yang kita amalkan boleh dikira sebagai kod atau tradisi tidak bertulis. Sebagai contoh, menyalakan lampu tinggi kepada kereta dari berlawanan arah untuk memberitahu ada polis menanti di hadapan, atau menepuk-nepuk meja tanda bersetuju di dalam parlimen, macam beruk.
Ini berkait dengan satu peristiwa di suatu petang ketika aku sedang memandu di lebuh raya. Aku sedang memandu seorang diri tetapi di atas jalan ada dua kereta yang dipandu kawan-kawan. Kami sebenarnya baru pulang dari rumah seorang kawan dan telah berkonvoi semasa keluar dari kawasan rumah itu kerana tidak familiar. Namun seperti biasa, selepas memasuki jalan yang familiar, aku telah memotong kawan aku yang mengepalai konvoi pendek itu tadi.
Dalam beberapa susur keluar sebelum penghujung lebuh raya aku dapati kawan yang mengepalai konvoi pendek tadi berada di sebelah kiri seperti mahu berlumba. Apabila menoleh aku terlihat dia membuat isyarat tangan yang tak berapa jelas, kerana langit pada waktu itu sudah mulai gelap.
Di sinilah kaitannya. Ini dipanggil kod tak bertulis isyrat tangan di lebuh raya. Ada satu kod sebenarnya, di kalangan lelaki terutamanya, iaitu sewaktu berkonvoi, apabila kereta melepasi satu sama lain, penumpang di kedua-dua buah kereta akan berbalas isyarat tangan. Pada kebiasannya isyarat-isyarat lucah. Paling tidak pun, membuat isyarat tangan seperti mahu ajak bertumbuk. Kod-nya ialah, jika kereta kawan di sebelah mula memberi isyarat tangan, kau hendaklah melayani dengan memberi isyarat tangan juga.
Cuma aku agak terkejut apabila kawan aku tadi memberi isyarat tangan kepada aku. Konvoi kami terlalu pendek untuk bermain berbalas isyarat tangan, dan kami juga mungkin sudah mencapai umur yang sudah tidak lagi wajib untuk mengamalkan permainan berbalas isyarat tangan ini.
Apapun, kod tetap kod. Aku tak berapa pasti apa isyarat yang diberikan waktu itu tetapi aku tetap membalas, dengan isyarat penumbuk. Kau tak boleh biarkan kawan kau memberi isyarat tangan tidak berbalas. Setelah memberi isyarat penumbuk aku ketawa dan memecut meninggalkan keretanya sekali lagi.
Walaupun sedikit terhibur, tetapi sebenarnya lebih seronok kalau ada kawan ramai-ramai dalam kereta.
Sejenak kemudian, kawan aku lagi sekali lagi berada di sebelah kiri aku, masih dengan isyarat tangannya. Berasa pelik, aku perhatikan betul-betul isyarat tangannya kali ini. Rupa-rupanya dia menyuruh aku untuk keluar di susur seterusnya dan bukan penghujung lebuh raya untuk elak trafik.
Nasib baik takde orang lain dalam kereta.
No comments:
Post a Comment