Saiful dan rakan-rakannya baru dalam perjalanan ke kereta apabila Puan Lamah tiba-tiba muncul di hadapan pintu pagar rumahnya. Puan Lamah adalah rakan kepada ibu Saiful, Puan Lailatul.
Seperti melayu stereotype, sesi 'greetings-lama-tak-jumpa' pun berlangsung di laman rumah, dengan Saiful tersengih-sengih apabila Puan Lailatul memperkenalkan bakal menantunya, Zubaidah kepada Puan Lamah. Rakan Saiful, Amin yang ketika itu begitu semangat dengan seluar pendeknya sudah melangkah laju menuju kereta diikuti Kahar dan isterinya, Sasha. Mereka semua cadangnya hendak pergi mandi di pantai.
"Yang mana satu cik Laila?", bisik Puan Lamah tatkala Saiful dan rakan-rakannya masuk ke dalam kereta yang terletak dalam 3 meter dari pagar rumah.
Apa yang tidak diketahui Saiful dan rakan-rakannya ialah hajat sebenar Puan Lamah ke rumah ibunya. Khabarnya, dia mahu perkenankan anaknya Ainsyah, kepada salah seorang rakan Saiful, dan dalam kes ini, Amin lah. Malangnya, Amin pula pada masa yang sama keluar mandi pantai lalu sesi berbual tidak dapat dijalankan. Namun, dia masih mahu mengetahui rakan Saiful yang di cadangkan oleh Puan Lailatul. Mana tahu kalau-kalau, dirasanya sesuai sekali pandang. Tetapi, tidak mengapa kerana dia memang mahu melawat Puan Lailatul pun.
"Yang itu ha", jawab Puan Lailatul sambil menunujuk dengan kurang persis ke arah kereta Zubaidah.
"Yang tinggi pakai baju kelabu tu ke?" soal Puan Lamah lagi sambil tersenyum simpul.
"Eh bukan itu ha, yang pakai seluar pendek baju hitam tu. Aa yang duduk depan tu", kali ini deskripsi tentang Amin lebih jelas.
Puan Lamah mengecilkan matanya untuk memanjangkan titik fokus matanya. Dia mahu melihat betul-betul kali ini. Mungkin dia terlepas pandang Amin yang lalu di tepinya tadi.
"Ohh yang itu ke?"
"Haaa yang itu le", jawab Puan Lailatul.
Air muka Puan Lamah sedikit berubah. Suasana senyap seketika. Dilihatnya sahaja kereta itu berlalu pergi. Tetapi secara khususnya dia melihat Amin dengan gelagatnya menghentak-hentak siling kereta. Familinya yang sudah bersedia untuk minum teh di dalam rumah tercegat sahaja di hadapan laman rumah, termasuk Ainsyah. Puan Lamah membetulkan sedikit tudungnya dan kali ini tiada senyuman di mukanya.
"Eheh", Puan Lamah tiba-tiba bersuara, sambil tersengih tidak ikhlas. Sambil melihat jam tangan dia menambah.
"Ohh kebetulan pulak cik Laila, saya ada kena pegi kedai pulak, nak beli dedak ayam, lambat karang tutup pulak kedainya." kata Puan Lamah sambil menghulurkan tangan kepada Puan Lailatul.
"Aik tak masuk minum dulu?" pelawa Puan Lailatul.
"Eh takpe-takpe karang tak makan pulak ayam-ayam saya. Nih pegi salam auntie Laila ni pastu masuk kereta cepat", Puan Lamah memberi arahan mutlak kepada anak-anaknya.
Kedai dedak tutup pada pukul 5 petang dan waktu itu baru pukul 11 pagi.
No comments:
Post a Comment