Saturday, March 16, 2013

Faizal Tahir

Aku berdiri di tengah-tengah bilik opah, memegang sepiring buah lai potong. Sambil mengunyah sepotong, aku tonton rancangan Muzik-Muzik di TV3 kendalian Scha Al Ya dan AJ. Opah ada di tenggara aku, duduk di atas katil mengunyah potongan lai yang aku beri tadi.

Kembali kepada rancangan TV tadi, AJ waktu itu sedang mengomel entah apa sebagai pengenalan kepada artis jemputan petang itu. "Mempersilakan, Faizal Tahir!" katannya di akhiran pengenalan.

"Siapa?" soal opah aku di belakang tiba-tiba.

"Faizal Tahir", jawab aku.

"Ooo"

Aku terus toleh ke arah opah aku. Hairan juga aku opah yang berumur 88 tahun ini kenal Faizal Tahir. Jadi aku tanya semula kepada opah, "Kenal ke opah Faizal Tahir?"

Sambil menggigit buah lai tadi opah aku hanya menggelengkan kepala.

Pencarian Kedai Membaikpulih

"Hah, apa tu?", soal pekerja kedai Wata Time. Kedai jam yang agak prominent di negara ini. Dengan soalan begitu, dalam hati, aku berasa adalah lebih elok jika aku tidak teruskan inkuiri aku. Kalau pengetahuan pun tak ada manakan pula nak membaik pulih.

"Tak apalah thank you", kata aku kepadanya sebelum melangkah keluar dari kedai. Di tepi kedai itu aku cekak pinggang sambil mengeluh panjang. Hari itu sahaja 8 buah kedai jam sudah ku singgah. Lima daripada itu sahaja berada di dalam kompleks beli belah ini yang keluasan berjalan kaki nya sahaja kalau dikumpul adalah seluas 48 buah padang bola sepak.

Punyalah dah beratus tahun teknologi jam ni wujud, takkan lah jam yang sebegini basic pun tak boleh nak repair? Agak lama juga aku tercegat di tepi Wata Time memikirkan tindakan seterusnya. Nak cari kedai lain ke? Balik rumah terus ke? Singgah beli aiskrim dulu kemudian balik rumah ke?

Dengan perasaan kecewa aku terus menuju ke tempat letak kereta untuk pulang ke rumah bersama-sama jam biologi yang sudah lari timing-nya ini.

Monday, March 4, 2013

Moraliti Dunia yang Makin Meruncing



Sudah lama aku tak ke Kanna Curry House, restoran daun pisang yang terkenal tu. Tempoh hari bila aku singgah, amatlah terkejut bila aku dapati nasik daun pisangnya kini sudah dihidangkan atas plastik pseudo-daun pisang. Cubaan nak menipu pelanggan. Tapi aku tak bodoh. Aku jerit "This is a fucking travesty!" lalu menendang meja dihadapan aku sekuat hati.

Nasik bertabur, meja melayang bersama-sama pseudo-daun pisang tadi dan kemudian jatuh menuruni tebing jalan, bergolek ke atas jalan sebelah sana. Dalam pada masa meja tadi melayang dan menuruni bukit, aku juga telah memberi beberapa round tendangan rumah kepada setiap pekerja Kanna Curry House berpakaian kuning yang tampak bangga dengan daun pisang ready made mereka ini. Sudah tentu pekerja yang paling mula aku terajang ialah pekerja yang menawarkan kari kambing kepada aku sampai tiga kali.

Tidak cukup dengan itu aku membelasah pula pelanggan-pelanggan lain kedai itu yang nampak enjoy dengan nasik daun pisang mereka tanpa daun pisang. Mereka ini aku belasah dengan cara membaling pinggan seperti frisbee kerana ini memudahkan kerja aku. Sekali baling kena sampai 12 orang. Ada la dalam tiga pinggan aku baling. Aku perasan ada seorang pelanggan di meja hujung cuba melarikan diri, jadi aku tendang seketul tulang ayam yang sedang dijamah seekor kucing tiga warna lalu mengena dan menusuk betisnya. Kucing tiga warna yang meratah tulang atas lantai tadi, juga tanpa berlapikkan daun pisang, aku tendangkan pula ke selatan sehingga memecah masuk melalui tingkap ke dalam sebuah pusat rawatan cina terletak lebih kurang 4 pintu jaraknya. Kerana kucing ini binatang yang ringan jadi mudah ditendang jauh.  

Selesai pertempuran berdarah campur kari ini, aku turun tebing dan ambil semula meja bersama nasik yang berterabur tadi dan duduk semula di atas. Nasik tadi aku taruh semula tapi kali ini di atas helaian daun mempelam yang aku susun rapi supaya menjadi seperti satu helai daun yang besar. Kali ini baru boleh makan.

Mujur juga aku sudah kehabisan tenaga selepas selesai makan, kalau tidak mahu saja aku mengamuk sekali lagi kerana berapa kali mintak cili goreng tak dapat-dapat.