"Breakfast like a king, lunch like a prince, dinner like a beggar". Ini satu ungkapan yang dijumpai Din dalam internet. Di mana dalam internet itu, dia sendiri tak berapa ingat. Besar kemungkinan instagram Kevin Zahri. Atau mungkin juga tuit-tuit suratkhabar Dato' Johan Jaffar. Yang pasti Din mengambil kira ungkapan ini dengan serius. Gaya hidup sihat, katanya.
Breakfast Like a King
Pagi itu dia mula. Bila dengar perkataan King, dia terus teringat raja-raja eropah. Dan, dikecilkan julatnya, dia fokus kepada raja-raja inggeris. Makanan pagi itu haruslah bertemakan makanan Barat. Dua keping roti bakar garing, diatasnya diletakkan poached eggs setiap satu, meminjam gaya hidangan egg's benedict. Dua hirisan salmon dimasak separuh pula diletakkan ke atas kedua-dua bijik telur. Di bahagian tepi ada dua frankfurter, satu diperbuat daripada ayam dan satu lagi kambing, New Zealand. Sekeping hashbrown digoreng keemasan terletak disebelah dan ditepinya sesenduk kacang bakar dalam sos. Ini ditambah dengan seketul daging burger buat sendiri panas-panas dengan keju cair meleleh dari atas. Bagi memenuhi pinggan, pelbagai jenis sayur berwarna warni diletakkan dan ditabur sedikit dengan French Dressing. Inilah sarapan Din pagi itu. Memang gaya raja-raja.
Lunch Like a Prince
Putera. Putera juga makan banyak. Tapi Din faham konsepnya, makan masih meriah tapi haruslah kurang daripada raja. Jadi dia memikirkan Putera Jawa. Nasi putih segenggam. Sambal tempe goreng bersama suhun dalam 2 sudu. Telur dadar sekeping, telur masin satu suku. Daging masak kurma, ditabur sedikit dengan kuah masak merah ayam dari periuk sebelah. Ulam pelbagai seikat. Lampung goreng sambal dalam 3 keping. Ok, letak balik lampung tadi, macam melebih dari raja pulak. Apapun, begitulah dia makan tengahari seorang putera.
Dinner Like a Beggar
Yang ini paling membingungkan Din. Sambil menongkat dagu menonton TV, minda Din melayang-layang mencari idea bagaimana hendak makan seperti pengemis. Terlalu jauh jurang antara putera raja dan pengemis. Rancangan-rancangan masak di Astro tidak membantu. Hidangan paling ringkas yang ditunjukkan pun sekurang-kurangnya sesuai untuk pangkat-pangkat Temenggong. Dalam mencari idea, malam itu Din keluar rumah dan mula mundar-mandir di luar pagar. Setelah beberapa minit, dia tiba-tiba melutut ditepi kompaun luar rumahnya. Din menarik nafas panjang dan memejamkan mata, sebelum mula menyelongkar tong sampah jirannya.
No comments:
Post a Comment