Ini adalah antara cerita-cerita kecil yang sering diceritakan arwah ayah dulu. Kisah Ya Tobek.
Dulu di kampung Jeram Mengkuang, Bidor ada seorang pemuda bernama Ya Tobek. Apa nama betulnya tidaklah aku tahu.
Satu hari ketika berbasikal di pekan, berlaku satu kemalangan antara seorang lelaki cina dan barangkali sebuah motokar. Kemalangan ini berlaku di depan Ya Tobek. Dan kebetulan pula lelaki cina ini tadi rupanya mirip Haji Usop, iaitu atuk aku. Atuk aku ini kira dikenali juga di kalangan orang kampung memandangkan dia salah seorang imam mesjid Jeram Mengkuang. Menyangkakan lelaki cina itu ialah atuk aku, Ya Tobek terus meluru ke arah lelaki cina ini tadi dan memapahnya. Aku tak pasti sama ada dia menumpang kereta yang melanggar tadi atau menahan kereta lain, tapi kiranya dia membawa lelaki cina ini menaiki kereta orang untuk dibawa ke klinik.
Di dalam kereta dia cuba menenangkan lelaki cina yang disangkakan atuk aku itu.
"Sabor Tok Ngah kita dah nak sampei ni", katanya.
"Haiyaa", keluh cina itu ditempat duduk belakang.
"Iyee ini Ya le nii", sambut Ya Tobek yang menyangkakan lelaki cina itu menyeru namanya.
"Haiyaa"
"Iyee ini Ya le nii"
Begitulah lebih kurang pertukaran verbal antara mereka berdua sehinggalah Ya Tobek ini merasakan sesuatu yang tidak kena.
Haji Usop, atau Tok Ngah, imam mesjid Jeram Mengkuang, pakai seluar pendek?
1 comment:
Haha...
Post a Comment