Malam-malam begini, melihat bulan penuh menerangi langit kelam, mengingatkan aku kepada hidup di UPM dulu. Di bilik 211, tahun 2006 khususnya.
Final year, setiap bilik dihuni 2 orang, secara rasminyalah. Bilik aku sudah tentu tak boleh dihuni dua orang sahaja, kurang-kurang 5 orang. Pada hari-hari biasa, 5 orang, tetapi pernah berlaku pada satu-satu masa, 8 orang tidur dalam bilik keramat 211 ini.
Berbalik kepada hari biasa, dengan 5 orang. Hanya berbekalkan dua buah katil single terletak mengenai dinding kiri dan kanan bilik, dua buah tilam yang entah dari mana dibawa masuk sebagai stowaway beds. Pada siang hari, kedua-dua tilam akan disimpan di bawah setiap katil, dan dikeluarkan pada waktu malam sekitar pukul 9 malam, selepas keluar makan dengan Mat. Kadang-kadang tilam-tilam ini dikeluarkan seawal 3 petang, bergantung kepada perangai hari itu.
Apapun, secara matematiknya, 2 katil dan 2 tilam memuatkan peraduan hanya 4 orang. Disitulah datangnya selimut aku. Konsep bilik ini ialah siapa cepat dia dapat, bererti, siapa baring dulu dia boleh tidur situ. Walaupun aku punyai katil sendiri, kebiasaannya katil aku akan dihuni Bob, seorang rakan dari Afrika. Dugong, juga penghuni asal, bagaimanapun diberi hak istimewa iaitu pemilikan tetap katilnya kerana lututnya pecah dan kami sebulat suara memberi dia status OKU.
Bulu dan Neneng, yakni pembawa masuk tilam-tilam misteri itu tegas dengan kedudukan mereka di tengah-tengah. Dengan keempat-empat mereka berbaring selari dengan panjang bilik, ini meninggalkan aku dengan satu ruang berserenjang di kepala Bulu dan Neneng, di atas lantai, selari dengan dinding bilik yang bertingkap diantara dua meja ulangkaji. Dengan beralaskan sehelai selimut yang dipakai sejak aku duduk di Ipoh lagi, aku akan tidur di ruang itu setiap malam.
Walaupun sebenarnya aku boleh saja baring di katil sendiri, tetapi setiap malam aku akan mengelak. Ditambah pula dengan aku yang tidak biasa tidur awal, aku mula menyukai ruang kecil ini. Ada beberapa sebab sebenarnya kenapa aku berkeras untuk tidur di lantai sejuk dan keras itu. Selain memberi ruang untuk aku solat subuh, aku mula menikmati pemandangan bulan terang bila kena malamnya, dari perbaringan aku.
Berlatarbelakangkan lagu-lagu daripada playlist "Tidur" aku yang biasanya diketuai Norah Jones, keindahan bulan terang menemani aku di malam-malam sleepless seraya merungkai segala kekusutan dalam minda. Ewaahh!
Ok lah tetapi sebenarnya itu bukan sebab utamanya. Sebab utama aku berkeras untuk tidur di situ ialah kerana aku tidak mahu mengambil risiko. Risiko apabila orang lain yang tidur di situ. Aku tidak boleh biarkan salah seorang daripada kami berlima, selain daripada aku, untuk tidur di ruang itu pada waktu malam dan melihat bulan.
Salah seorang daripada kami yang kalau dilihat dirinya separuh telanjang (which is hampir setiap masa), seperti sudah 3/4 dalam perjalanan untuk bertukar menjadi serigala jadian.