Showing posts with label Drama. Show all posts
Showing posts with label Drama. Show all posts

Wednesday, November 13, 2013

Drama-drama Yang Berkemungkinan Tidak Akan Ditayangkan di TV Tempatan

Pengkid itu Suamiku

Mengisahkan seorang gadis yang berkahwin dengan seorang pengkid secara sah tetapi tiada siapa mengetahui yang suaminya itu seorang pengkid kecuali dia. Penuh dengan kisah bagaimana suaminya pengkid itu yang seringkali hampir-hampir terbongkarkan identitinya yang sebenar.


Sebenarnya Saya.. Isteri Seekor Anjing

Mengisahkan seorang gadis yang berkahwin dengan seekor anjing tetapi pada masa yang sama berusaha menyembunyikan perkahwinan itu daripada rakan-rakan pejabatnya kerana nanti orang kata kahwin tak bagitahu. Di rumah, situasi sentiasa janggal antara mereka berdua kerana setelah berbulan-bulan berkahwin tetapi masih belum berhubungan seks.


Jodoh Itu Milik Kita Semua

Mengisahkan seorang gadis yang merantau serata dunia dengan semangat free love dan motto yang jodoh itu milik semua orang. Perjalanan hidupnya dipenuhi dengan perkahwinannya dengan pelbagai lapisan masyarakat, lelaki dan perempuan, pondan dan aseksual, serta ermm.. makhluk asing.


Love You Mr Algorithm

Mengisahkan seorang gadis yang berkahwin dengan seorang lelaki bernama algorithm, yang kebetulan adalah sebuah algorithma secara harfiah. Gadis ini mendapati suaminya Algorithm adalah seorang lelaki yang berubah-ubah bergantung kepada keadaan. Sepanjang siri kita melihat bagaimana gadis ini membekalkan suaminya dengan pelbagai pembolehubah, dalam bentuk situasi, emosi dan reaksi sebagai usaha untuk menerbitkan algorithma misteri suaminya.




Thursday, March 4, 2010

Drama Melayu Satu Kosong Dua

Dan kalau terasa segala praktis di dalam 101 dah terlalu banyak diulang..

Wujudkan satu alam bunian.
Dengan bunian yang comel.

Monday, March 1, 2010

Drama Melayu Satu Kosong Satu

Rangka Cerita:
Ok. Cipta satu watak utama. Seorang lelaki, bercinta. Ibu tak restu. Ibu ada calon sendiri. Lelaki berdegil kahwin dengan pilihan hati. Ibu halau dari rumah. Pilihan asal ibu mestilah talam dua muka. Dia sabotaj bini lelaki menyebabkan lelaki ceraikan bini dia. Kemudian lelaki kahwin dengan pilihan ibu a.k.a talam dua muka dan ibu terima semula anaknya. Tak lama ibu dapat tau pilihannya adalah talam dua muka, lalu halau dari rumah. Mula meraung menyesal. Mintak maaf dengan bini pertama a.k.a pilihan lelaki. Tapi terlambat bini pertama dah mati. Kanser something.

Ok siap satu drama.

Pemilihan Pelakon:
Rosyam adalah pilihan terbaik tapi tak nak lah, nanti dikatakan terlalu cliche'. Ok, siapa lagi sesuai melakonkan watak tertindas, terhimpit antara bini dan ibu, tetapi pada masa yang sama ada ciri-ciri maskulin?
Nasir Bilal Khan. Atau adik Rosyam Nor.

Pemilihan Lagu:
Lagu-lagu sedih dari Sudirman, Carefree dan Kenny Remy Martin tak pernah gagal menitiskan air mata penonton. Kalau boleh guna yang minus-one atau versi organ sahaja untuk digunakan sepanjang cerita. Bila bahagian yang akhir masa semua orang menangis baru pakai lagu original.

Kalau anda terlepas menonton drama ini di TV, jangan risau. Setahun mesti ada tiga drama serupa ini.

Wednesday, September 30, 2009

Syarat Malam-malam Raya

Setelah aku perhatikan industri televisyen tempatan ni, aku dapat mengenalpasti corak drama yang dipaparkan terutama sekali menjelang, atau pada hari raya. Biasanya pada malam raya, akan ada satu drama di TV (kalau bernasib baik, dua) akan disiarkan sebagai hiburan orang ramai di kala menganyam ketupat.
Berikut merupakan 10 perkara yang boleh didapati dalam drama tempatan, samada salah satu atau kesemuanya sekali.

1. Rosyam Nor

2. Mesti cerita tentang kekeluargaan.

3. Diakhiri dengan kematian, dan selalunya pada pagi raya. Kadang-kadang satu keluarga mati.

4. Keluarga itu biasanya keluarga yang susah, duduk di kampung dalam keadaan daif.

5. Rosyam Nor

6. Dalam adik-beradik yang ramai, biasanya mesti seorang sahaja yang elok perangai (protagonis). Adik-beradik lain semuanya berperangai jijik, lupa diri, tak berperikemanusiaan dan memandu Mercedes.

7. Protagonis biasanya akan tertindas sepanjang cerita, sehinggalah perkara no. 3 berlaku dan mereka yang menindas sebelum ini akan menangis kesesalan. Termasuklah penonton di rumah.

8. Kampung yang dipilih biasanya di Kuala Selangor, supaya tak perlu menukar loghat.

9. Dan pada ketika no. 7 berlaku, kesemua perkara yang dirahsiakan oleh protagonis akan di uraikan, lalu bertambah sedih.

10. Roy Azman sebagai watak tepi.