Pos kali ini panjang sikit. Jadi kalau belum makan, makanlah dulu. Kalau tengah berak dan berak pula jenis lama kena teran, sesuai sangatlah baca ni.
Setiap tahun kami sekawan akan anjur majlis berbuka puasa bersama-sama dan tahun ini tidak terkecuali. Nanti dulu biar aku kira. Bermula pada tahun 2007 kalau tak silap.
2007: Seoul Garden, KL
2008: Groupbase, Damansara
2009: KGPA, KL
2010: Saba', Cyberjaya
2011: Red Wok, Bangi
2012: Enstek Residence, Nilai
2013: Rumah Anak Yatim Kajang
Daaaannn bagi tahun 2014: Rumah Yayasan Basmi Kemiskinan Jambo Sakti, Bernam.
Melihat tempat berbuka sahaja sebenarnya sedikit sebanyak memberi gambaran perubahan dari segi selera dan mentaliti. Ya, kami semakin tua dan (hopefully) semakin matang. Aku ingat lagi dari zaman menggunakan talipon (ye dalam erti kata bercakap di talipon) dan senarai nama ditulis belakang sampul, sehinggalah kini dengan facebook dan whatsapp dan senarai nama dalam excel sheet di cloud storage.
Dari 2007 hingga 2011, kalau diperhatikan betul-betul, kesemuanya berkonsepkan buffet. Letih dengan sistem kebaratan dan syaitan ini, pada tahun 2012 kami mencuba pula satu sistem lain bernama pot luck yang dibuat di kediaman Trong dan Kiah di Enstek, Nilai. Walaupun secara asasnya sistem pot luck ini tidaklah syaitan, tetapi oleh kerana pemahaman seorang bawa makanan untuk 5-6 orang, maka (masukkan nombor n di sini, aku tak ingat berapa ramai join pada tahun ini) orang membawa makanan untuk orang seramai n x 5, yang kesudahnnya banyak juga makanan berlebih.
Apapun pada 2013, kami telah mencuba sedikit kelainan. Kami berbuka bersama anak-anak yatim. Idea ini mulanya dikeluarkan oleh Dugong, dan pada aku adalah perfect timing kerana beberapa hari sebelum Remdan 2013, aku kemalangan. Kemalangan yang boleh dikatakan teruk tetapi alhamdulillah aku keluar unscathed. Keajaiban jikalau dilihatkan keadaan kereta aku, dan aku hanya mampu bersyukur. Bersyukur bak kata orang sekeliling aku, dengan memberi derma. Thus, perfect timing.
Dan aku juga, berbalik di tahun 2010, ketika ayah aku masih hidup, kadang-kadang aku akan ikut serta ayah dalam program bersama kawan-kawan lamanya di Brighton. Grup ayah aku ini, dalam aktiviti mereka sering membuat kerja-kerja amal membantu anak yatim dan sebagainya. Melihatkan ini aku pernah menyatakan pada entah siapa aku tak ingat, yang satu hari aku berharap bulatan kawan kami ini dapat buat benda-benda sebegini. Something that would keep us occupied. Bukan sebagai persatuan, aku benci persatuan, tetapi sebagai satu bulatan kawan-kawan.
Apapun, bermula pada tahun 2013, kemudian diteruskan pada tahun ini juga. Program tahun 2014 ini pula dimulakan oleh Kak Rok (Bee) yang jauh di Doha dan dijayakan oleh Pedas (Ila), yang mencari rumah kebajikan dan katering.
Berbekalkan pengalaman pertama di Kajang, atas beberapa sebab kami sebulat suara bersetuju untuk mencari rumah kebajikan yang luar daripada bandar, jauh dari Kuala Lumpur dan yang seharusnya kurang diberi perhatian seperti rumah-rumah di sekitar Kuala Lumpur. Dan hasil pencarian Ila dan ayahnya pak Othman, telah menemukan kami dengan rumah kebajikan Jambo Sakti.
Rumah Jambo Sakti ini terletak di Gesir, di tengah-tengah perjalanan antara Ulu Bernam dan Sabak Bernam. Di sekelilingnya hutan, dan perjalanan ke tempat itu pun melalui kawasan hutan dengan lampu jalan yang minimum.
Rumah Jambor Sakti menempatkan kanak-kanak berumur 8-12 tahun yang terdiri daripada anak yatim dan fakir miskin. Rumah kebajikan ini adalah atas usaha Yayasan Basmi Kemiskinan yang ditubuhkan oleh beberapa orang kawan.
Dengan pemilihan tempat ini, aku tidak berharap sangat bagi kedatangan yang tinggi (program di Kajang disertai seramai lebih kurang 30 orang kutu), tetapi sedikit kagum dengan confirmation peserta seramai 24 orang. Confirm maksudnya sudah membayar duit makanan. Tetapi atas sebab-sebab di saat akhir, hanya tinggal kami seramai 13 orang yang menghadirkan diri. Perasaan itu seakan menaiki roller-coaster, bak kata orang-orang sastera pop.
Apapun, mari aku ceritakan sedikit konsep berbuka puasa dengan berkebajikan kami ini, dalam bentuk poin bernombor supaya nampak macam universiti sikit. Ini konsep yang diilhamkan oleh Kak Rok.
1) Sebuah majlis berbuka puasa akan diadakan bersama ahli-ahli rumah kebajikan yang terpilih.
2) Harga makan untuk satu kepala akan ditetapkan, seperti tahun 2013 & 2014, RM15 seorang. Ini harga yang akan dibayar mengikut kepala kepada katering.
3) Seorang peserta akan dikenakan bayaran sebanyak RM30, membawa maksud dia akan membayar makan untuk diri sendiri dan seorang ahli rumah kebajikan.
4) Oleh itu, jumlah peserta yang ideal ialah sama dengan jumlah ahli rumah kebajikan.
5) Kalau jumlah peserta tidak cukup, maka kami dalam bulatan kecil ini akan berpakat untuk berkongsi mencukupkan wang bagi menampung ahli rumah kebajikan yang lain, atau dalam kes tahun ini, saudara Dugong telah menggenapkan jumlah selebihnya.
6) Dan jikalau peserta melebihi ahli rumah kebajikan, duit lebih akan dimasukkan ke dalam tabung.
7) Selain menyertai program berbuka, kawan-kawan juga diberi peluang untuk menyampaikan sumbangan wang kepada rumah kebajikan ini, seikhlas hati.
8) Jikalau, ada yang tidak dapat menyertai program berbuka pun, mereka boleh beramal dengan memberi sumbangan wang yang akan diberikan terus kepada rumah kebajikan yang dipilih.
9) Oh ya, majlis akan dibuat di rumah kebajikan itu sendiri, menggunapakai segala ruang yang diperlukan.
Alhamdulillah, program di Jambor Sakti berjaya dilangsungkan dengan lancar.
Kami tiba waktu petang dan budak-budak di sana sedang riadah indoor. Chenab terus melayan budak-budak lelaki bermain 'tutup oren' menggunakan huruf-huruf Sahiba, manakala Ila, Kakcik dan adiknya bermain batu seremban dengan kanak-kanak perempuan. Aku, lepak di tepi dinding bersama 2 orang wallflowers.
Pada suatu ketika, Chenab tiba-tiba jadi hiba. Dipanggilnya aku ke tepi untuk menyampaikan rasa sayunya. Entah apa yang buat dia sedih tiba-tiba aku pun tak faham. Aku sudah tentu tiada rasa sedih, sesuai dengan perwatakan gengster aku.
Menghampiri pukul 7 pihak katering dari Restoran Abuya tiba menyiapkan makanan. Seperti yang dipesan, lauk-lauk ayam goreng, daging kicap, sayur campur, papadom dan apa lagi aku tak ingat diletakkan di atas sebuah meja. Dan pada waktu itu baru aku sedari yang mereka caj sebanyak RM13 sahaja untuk satu kepala. Jadi wang selebihnya kami pindahkan terus ke tabung derma.
Kemudian pasangan dari Qatar, Kiah dan Trong tiba membawa air zam-zam dan rutob. Rutob adalah korma fresh, yaitu yang baru di petik dari pokok. Berapa hari umurnya aku tak pasti, tetapi rupanya licin tidak berkedut seperti kurma kering. Sekali imbas ada rupa macam biji kelapa sawit. Atas fakta ini, niat asal untuk menipu kanak-kanak di sini dengan mengatakan buah yang dihidang itu adalah biji kelapa sawit, bagaimanapun menemui mangsa kolateral dalam bentuk manusia berumur 30. Rasanya semua boleh teka siapa.
Beberapa minit sebelum waktu berbuka, satu sesi roll call dikendalikan oleh seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun, yang aku kira ketua mereka. Dan untuk budak-budak lelaki lain menurut dengan patuh, boleh dikira gengster juga budak ini. Apapun budak-budak di sini memang berdisiplin.
Usai waktu berbuka, mereka mula beratur mengambil kurma dan kuih. Dengan tertib dan teratur mereka ambil tempat masing-masing di beranda rumah. Kemudian kami solat maghrib, yang diimamkan oleh jemputan khas dari Qatar, iaitu saudara Al-Trong.
Selepas berbuka yang betul-betul, program disambung dengan solat Isyak diikuti terawih 8 rakaat, sebelum disambung dengan moreh roti jala kuah durian. Dan ketika moreh ini lah kanak-kanak ini mula memberi teka teki entah apa-apa. Aku terpaksa melayan sahaja. Ada juga teka-teki yang mintak penerajang.
Dan sebelum balik kami menyerahkan wang derma yang dikumpul bersama kawan-kawan, saudara dan saudara kawan-kawan. Jumlah derma yang dikumpul tahun ini ialah sebanyak RM5850.
Buka Puasa yang Ramai-ramai. Itu namanya dulu. Sekarang mungkin tak berapa ramai. Tapi aku tak kisah sangat, 5-6 orang pun dah kira ramai pada aku. Yang penting program perlu diteruskan. Dan sepanjang 8 tahun ini ada yang tinggal, ada yang meninggalkan dan ada yang tak pernah datang. Harapanku mana yang ada ini akan terus kekal.
Pernah aku renungkan sekali perhubungan kami dan aku sedar yang ikatan terkuat kami ialah kami tidak mempunyai persamaan. Kami bukan ahli persatuan taekwando Kuala Lumpur contohnya, atau pernah satu team bolasepak sekolah, atau bernaung di bawah Kelab Kompang yang sama. Itu pada aku yang membuatkan ikatan lebih kuat.
InsyaAllah, Ramadan yang akan datang kami akan anjurkan program sebegini lagi. Dan seterusnya.